Thursday, April 18, 2019
vital-top
updated 3:10 PM UTC, Apr 18, 2019

Kejayaan Muhamad Adiq Raih Jersi Putih Labuhkan Saingan LTdL 2016

  • Published in Sukan

 

Melaka - Kejayaan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhamad Adiq Husainie Othman meraih jersi putih selaku pelumba terbaik Asia pada Kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) yang melabuhkan tirai di sini semalam, membuktikan pelumba negara mampu bersaing dengan pelumba asing.

Kemenangan tersebut sekaligus menjadi pengubat duka pasukan TSG yang gagal meraih kedudukan podium walaupun telah memberikan saingan sengit kepada pelumba pasukan pro jelajah dan pro benua yang menguasai edisi ke-21 kejohanan berbasikal terkemuka di benua Asia itu.

Pelumba Itali Andrea Guardini, 26, pula layak dijulang selaku pelumba terhebat dalam sejarah penganjuran LTdL yang dianjurkan sejak 1996 apabila meraih kemenangan peringkat yang ke-22 untuk dirinya.

Beliau yang meraih 18 kemenangan peringkat sebelum ini, terus mempamerkan belangnya apabila membolot empat lagi kemenangan peringkat termasuk peringkat terakhir (peringkat kelapan) sejauh 119km dari Batu Pahat ke Dataran Pahlawan, di sini selain menggondol jersi teal selaku Raja Pecut buat kali ketiga selepas 2011 dan 2012.

Wakil Afrika Selatan, Reinardt Janse Van Rensburg dari pasukan Dimension Data pula mengekalkan penguasaan pelumba benua Afrika untuk jersi kuning selaku pelumba terbaik keseluruhan manakala pelumba China, Wang Meiyin dari Hengxiang Cycling Team memenangi jersi polka dot selaku Raja Bukit buat kali kedua selepas 2013.