Sunday, February 17, 2019
vital-top
updated 1:46 PM UTC, Feb 17, 2019

Lopez Takluk Peringkat Keempat LTdL 2016

  • Published in Sukan

 

Cameron Highlands  - Pelumba Astana Pro Team dari Kazakhstan, Miguel Angel Lopez Moreno membuktikan kemampuannya selaku pakar pendakian apabila mengungguli peringkat keempat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2016.

Pelumba berusia 22 tahun dari Colombia itu, yang membuat penampilan pertama pada LTdL, mencatat masa 3 jam 25 minit 37 saat pada perlumbaan hari ini sejauh 129.4km dari Ipoh ke Cameron Highlands, yang berada pada kedudukan 1,450 meter dari paras laut.

Rakan senegaranya, Daniel Alexander Jaramillo Diez dari UnitedHealthCare Pro Cycling Team, menduduki tempat kedua setelah ketinggalan 30 saat, manakala pelumba Afrika Selatan, Reinardt J V Rensburg dari pasukan Dimension Data di tempat ketiga, 35 saat di belakang Lopez.

Kemenangan hari ini menyaksikan Lopez merampas jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan daripada rakan sepasukan, Andrea Guardini dari Italy, yang masih mengekalkan jersi Teal sebagai Raja Pecut setelah mengumpul 38 mata selepas empat peringkat perlumbaan.

Pelumba China, Wang Meiyin yang mewakili Hengxiang Cycling Team, dalam pada itu mengekalkan jersi Polka Dot selaku Raja Bukit, namun kehilangan jersi Putih sebagai pelumba terbaik Asia, kepada pelumba Malaysia, Muhamad Adiq Husainie Othman daripada Terengganu Cycling Team.

Pelumba veteran negara, Loh Sea Keong yang mewakili skuad kebangsaan Malaysia, pula dinobat selaku pelumba paling agresif buat kali kedua pada LTdL 2016 selepas memenanginya pada peringkat kedua dari Sungai Petani ke George Town, Khamis lepas.