Sunday, April 21, 2019
vital-top
updated 12:08 PM UTC, Apr 21, 2019

1,400 Polis Bertugas Sempena Piala Sumbangsih 2016 Antara JDT, Selangor Esok

  • Published in Sukan

Johor Baharu - Polis menempatkan 1,400 anggota untuk berkawal menjaga keselamatan sepanjang berlangsungnya perlawanan Piala Sumbangsih 2016 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan pasukan Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata lima kenderaan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) turut disediakan di kawasan stadium bagi menangani sebarang kemungkinan.

Katanya, penyokong diminta mematuhi sepenuhnya arahan keselamatan termasuk tidak membawa sebarang bahan letupan, senjata tajam atau barangan yang boleh mencederakan, serta dilarang melakukan provokasi atau pertelingkahan yang boleh mencetuskan pergaduhan antara kedua-dua pihak.

"Orang ramai juga dilarang meminum minuman keras dan melakukan sebarang bentuk vandalisme seperti membakar tempat duduk penonton ketika atau selepas perlawanan.

"Mereka seharusnya menjaga tingkah laku, moral dan menunjukkan etika positif serta semangat kesukanan yang tinggi sepanjang berlangsungnya perlawanan," kata beliau dalam sidang media, di sini hari ini.

Tambahnya, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas, sekiranya didapati mereka melanggar peraturan ditetapkan.

Perlawanan JDT menentang skuad Zainal Abidin Hassan itu, akan disiarkan secara langsung di saluran televisyen TV3 pada 9 malam, esok.