Sunday, April 21, 2019
vital-top
updated 8:34 AM UTC, Apr 21, 2019

Tahap Keselamatan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV Perlu Ditingkatkan - Bomba

  • Published in Sukan

Kota Bharu -Tahap keselamatan, terutama berkaitan aspek pencegahan kebakaran di Stadium Sultan Muhammad ke-IV yang berusia 49 tahun perlu dipertingkatkan walaupun ia masih selamat untuk digunakan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Azmi Osman berkata ia penting bagi memastikan ribuan penonton dapat menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan jika sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Hasil pemeriksaan hari ini, kami dapati Perbadanan Stadium Kelantan perlu menempatkan seorang pengawal di setiap laluan keluar di pintu-pintu kecemasan di dalam stadium bagi memudahkan penonton menyelamatkan diri.

Selain itu, tekanan air di beberapa pili bomba juga perlu ditingkatkan terutama ketika berlangsungnya perlawanan serta tiada halangan di laluan yang digunakan oleh jentera bomba," katanya selepas melakukan pemeriksaan di stadium berkenaan di sini hari ini.

Beliau juga berkata pihaknya juga akan mengadakan pemeriksaan terhadap premis terutama kedai makan yang beroperasi di bangunan stadium itu pada minggu hadapan.

"Ia bagi memastikan pengusaha mematuhi atau sekurang-kurangnya tahu mengenai asas pencegahan kebakaran kerana jika kejadian itu berlaku, ia boleh menyebabkan penonton panik dan berasak-asak keluar dari stadium, sekali gus boleh mendatangkan kecederaan atau kematian kerana berhimpit.

Kita harap dapat bekerjasama dengan Perbadanan Stadium Kelantan dalam hal ini dan kami sedia untuk memberikan kursus kepada pengusaha kedai makan berhubung aspek kebakaran," katanya.

Beliau berkata JBPM Kelantan juga akan menyiapkan satu laporan lengkap berhubung pemeriksaan hari ini kepada Perbadanan Stadium Kelantan agar segala aspek penambahbaikan itu dapat dilakukan dengan sempurna.