Monday, February 18, 2019
vital-top
updated 3:50 PM UTC, Feb 18, 2019

PPDNKK Johor Rampas 82 Jersi Tiruan Kelab Bola Sepak JDT

  • Published in Sukan

Johor Bahru - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Johor merampas 82 helai jersi tiruan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) bernilai RM6,000 di dua gerai di Bazar Karat, di sini, malam tadi.

"Yang menarik perhatian, salah satu jersi latihan berwarna merah yang masih belum diperkenalkan kepada orang ramai, turut dikesan dijual," kata Timbalan Pengarah pejabat itu, Mohamad Mokhtar Yeop ketika mendedahkan rampasan itu.

Bercakap kepada pemberita, di sini hari ini, beliau berkata rampasan dilakukan pada 11 malam selepas pihaknya melakukan risikan dan pemantauan di kawasan itu sejak seminggu lepas.

"Kesemua jersi tiruan jenama Adidas termasuk jersi latihan bagi musim baharu itu dianggarkan dijual pada harga RM50 hingga RM100 sehelai bergantung pada grednya.

Mohamad Mokhtar berkata menerusi siasatan awal, pihaknya percaya pakaian itu dihasilkan di negara jiran untuk dijual di pasaran di negeri ini termasuk di pasar malam, pasar borong dan bazar karat.

Beliau berkata pihaknya sudah merekodkan keterangan kedua-dua pemilik gerai terbabit yang berusia 30-an bagi siasatan lanjut.

Katanya, kesemua jersi terbabit kini disita untuk siasatan mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan.

Sementara itu, Ketua Produksi dan Penerbit Eksekutif JDTTV Media Sdn Bhd, Raja Fouzeel Akmal Raja Zainal berkata orang ramai seharusnya tidak tertipu dengan helah penjual yang tidak bertanggungjawab.

Beliau menyarankan supaya mereka membeli jersi asli yang dijual pada harga RM189 oleh 45 pengedar berdaftar di seluruh negeri.