Monday, February 18, 2019
vital-top
updated 2:45 PM UTC, Feb 17, 2019

Kementerian Belia Sasar Program Latihan Dengan Syarikat Antarabangsa

  • Published in Sukan

Kuala Lumpur - Kementerian Belia dan Sukan menyasarkan untuk memeterai lima memorandum persefahaman (MoU) dengan pelbagai syarikat antarabangsa bagi menjalankan program latihan pada tahun ini.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata bagaimanapun, tumpuan utama kementerian ialah mengekalkan dan menguatkuasakan perjanjian sedia ada.

"Setakat ini kami telah memeterai 20 MoU dengan syarikat asing dalam pelbagai industri termasuk Samsung dari Korea," katanya dalam sidang media selepas berucap pada majlis tamat latihan khusus FUSO Mercedes Benz Malaysia-Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), di sini hari ini.

Kumpulan pertama 11 pelajar IKBN berjaya menamatkan latihan mereka di Pusat Latihan Perantis (ATC) Mercedes Benz.

Terdahulu dalam ucapannya, Khairy berkata 11 pelajar terbabit akan diserap oleh sembilan pengedar sah FUSO untuk bekerja di bawah kontrak setahun dengan gaji bulanan RM1,800.

Sementara itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes Benz Malaysia, Claus Weidner berkata syarikat telah melabur lebih RM22 juta dalam ATC yang memperkasa dan melengkapi belia dengan kepakaran teknikal kereta sejak lebih 10 tahun.

"Kami percaya matlamat pembangunan belia ini seiring dengan wawasan negara untuk meningkatkan tahap kemahiran dalam industri teknologi tinggi," katanya.

Program latihan khusus IKBN FUSO ini ditandatangani oleh Mercedes Benz dan kementerian pada Ogos tahun lepas.