Monday, February 18, 2019
vital-top
updated 3:50 PM UTC, Feb 18, 2019

Chong Wei Masih Juara Di Kejohanan Masters Malaysia

  • Published in Sukan

 

George Town - Pemain utama badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mudah merangkul gelaran kelimanya di kejohanan Masters Malaysia serta yang pertama musim ini di Arena SPICE.

Iskandar Zulkarnain Zainuddin jelas bukan lawan Chong Wei apabila meleburkan cabaran juara kebangsaan itu 21-18, 21-11 dalam masa 42 minit untuk gelaran kelimanya di kejohanan ini selepas menjuarainya empat kali berturut-turut dari 2009-2012.

Perlawanan akhir ibarat pertembungan 'abang-adik' itu membuktikan pengalaman yang dimiliki pemain nombor lima dunia berkenaan yang berasal dari Pulau Pinang masih sukar digugat pemain tempatan.

"Hari ini Iskandar memberikan tentangan yang baik. Di set pertama, saya tidak memberi tumpuan untuk mengasak dan dia bijak mengambil peluang itu. Pada set kedua, saya sudah tahu cara Iskandar, dan pengalaman membolehkan saya mengawal permainan.

"Saya tidak pernah main di tempat sendiri. Walaupun ini hanya Masters Malaysia, saya puas hati dengan kemenangan pertama untuk tahun ini. Saya akan teruskan semangat ini untuk kejohanan akan datang terutama menjelang All England dan Terbuka Switzerland," katanya yang membawa pulang US$9,000 (RM37,800).

Iskandar yang kali pertama beraksi di final kejohanan berstatus Grand Prix Emas berkata kemampuan membaca pukulan dan kepantasan adalah kelebihan yang dimiliki Chong Wei.

"Chong Wei bergerak pantas dan ia membuatkan saya susah mendapatkan mata. Saya harap selepas ini dapat meningkatkan fizikal dan stamina," kata pemain berusia 24 tahun itu.