Saturday, June 23, 2018
vital-top
updated 11:34 AM UTC, Jun 23, 2018

Carolina Marin Sasar Kejohanan Dunia

Foto - BERNAMA

23 JUN: PETALING JAYA - Pemenang pingat emas badminton Olimpik, Carolina Marin tetap akan memberikan persembahan terbaiknya dalam Terbuka Malaysia Celcom Axiata 2018 yang bermula Selasa depan, biarpun tumpuan sebenarnya di Kejohanan Dunia.

Pemain Sepanyol berusia 24 tahun itu berkata Kejohanan Dunia di China bulan depan adalah matlamat utamanya dan Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil adalah platform terbaik   buat beliau  menguji prestasi permainannya.

“Persedian saya adalah baik tetapi matlamat utama saya ialah Kejohanan Dunia.  Persembahan terbaik saya akan ditunjukkan  di sana dan sekarang persembahan saya adalah baik tetapi bukan terbaik.

Jadi, saya hanya mahu melakukan yang terbaik, malah kurang dari seminggu kemudian saya  akan  beraksi di Terbuka Indonesia tetapi saya perlu bersabar dan menumpukan kepada apa yang saya lakukan dalam  latihan,” kata beliau kepada pemberita di Pengaktifan Pertama LaLiga di Malaysia, di sini hari ini.

Diletakkan sebagai pilihan keenam, Marin akan berhadapan Gregoria Mariska Tunjung dari Indonesia dalam pusingan pertama kejohanan ini.

Sementara itu, Marin yang memenangi dua gelaran Kejohanan Dunia pada 2014 dan 2015, yakin   LaLIga akan memberikan impak positif kepada senario bola sepak Malaysia.

“LaLIga adalah liga yang paling dikenali di dunia dan saya gembira diberi penghormatan untuk mewakili liga bola sepak Sepanyol di negara yang menakjubkan ini.

Saya benar-benar menghargai segala usaha yang lakukan di sini dan amat penting untuk kami mempromosikan nilai teras (LaLiga) semangat berpasukan, kepimpinan, tanggungjawab dan perasaan hormat,” katanya.

Sementara itu, Wakil LaLIga Global Network  Giorgio Pompili Rossi berkata terdapat minat yang besar  terhadap La LIga di Asia.

“Malaysia ialah sebuah negara yang terkenal dengan peminat bola sepaknya yang penuh bersemangat, menjadikan ia pasaran yang sesuai untuk LaLiga. Kami teruja menyambut jenama ini di dalam negara yang rakyatnya hidup dan bernafas dengan bola sepak,” katanya.

((BERNAMA))

  • Ditulis oleh BeritaRTM
  • Kategori: Sukan
  • Jumlah paparan: 109