Thursday, April 18, 2019
vital-top
updated 10:39 AM UTC, Apr 18, 2019

Warga Sri Lanka Dipenjara Sehari, Denda RM10,000

  • Published in Nasional

 

KUANTAN - Seorang bekas penjaga stor warga Sri Lanka dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 selepas mengaku salah memberi suapan kepada anggota polis, bulan lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Dazuki Ali juga memerintahkan Ummaheswaran Umaprasanth, 22, yang merupakan bekas pekerja syarikat tekstil di ibu kota dipenjarakan enam bulan jika gagal menjelaskan denda itu.

Tertuduh didakwa memberi suapan wang tunai RM150 kepada anggota polis Koperal Md Nor Azman Hujut di hadapan Kompleks Mahkamah Bentong dekat sini, pada pukul 3 pagi, 22 Dis lalu.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan kepada anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong itu untuk tidak mengambil tindakan ke atasnya yang melakukan kesalahan memandu tanpa lesen yang sah.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda hingga lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

((SUMBER:BERNAMA))