Friday, April 19, 2019
vital-top
updated 4:32 AM UTC, Apr 19, 2019

Majlis Keselamatan PBB bincang krisis kemanusiaan di Syria.

  • Published in Berita Dunia

Amerika Syarikat mengutuk Rusia atas kegagalan Moscow menghalang sekutunya, Presiden Syria Bashar al-Assad daripada menggunakan senjata kimia.

Ia susulan laporan terbaharu penggunaan senjata itu oleh tentera Syria.

Setiausaha Rendah Jabatan Negara bagi hubungan awam, Steve Goldstein berkata, orang awam dibunuh, dan ia tidak boleh diterima.

Pemerhati hak asasi manusia melaporkan, 21 orang termasuk kanak-kanak mengalami kesukaran untuk bernafas pada Isnin selepas serangan senjata kimia di kubu kuat pemberontak di luar Damsyik. Washington bagaimanapun belum dapat mengesahkan laporan terbaharu itu.

Sementara itu, operasi ketenteraan Turki untuk mengusir militia Kurdish dan krisis kemanusiaan yang semakin buruk di Syria, dibincangkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu, PBB, pada Isnin.

Namun, badan dunia itu tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengutuk atau mengarahkan agar operasi berkenaan dihentikan.

Menurut Duta Perancis, Francois Delattre , taklimat mengenainya diberikan oleh Ketua Misi bantuan PBB, Mark Lowcock yang melawat Syria, baru-baru ini.

Atas permintaan Perancis, Majlis Keselamatan turut membincangkan mengenai serangan Turki di Afrin dan kempen Syria di Idlib dan timur Ghouta.

Manakala Turki meningkatkan operasi ketenteraan terhadap kumpulan militia Kurdish di Syria.

Presidennya, Recep Tayyip Erdogan dalam ucapan yang disiarkan stesen televisyen tempatan, berikrar untuk meneruskan operasi mengusir Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) -- sekaligus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sekutu Ankara dan negara berjiran.

Penduduk di pekan Afrin, mula menyimpan bekalan makanan dan perubatan sebagai persediaan untuk berdepan keadaan yang lebih buruk.

Agensi berita Anadolu pula melaporkan operasi tentera darat telah mengepung 15 perkampungan dan beberapa lokasi lain di Syria.

Sementara itu, pemerhati hak asasi manusia bagi Syria melaporkan kira-kira 22 orang awam terbunuh dalam operasi ketenteraan Turki dan dua orang lagi oleh militan Kurdish.

54 militan Syria, turut terbunuh termasuk 19 anggota kumpulan pemberontak yang disokong Ankara, 26 Kurdish dan 9 lagi tidak diketahui.

((SUMBER: AFP))