Saturday, April 20, 2019
vital-top
updated 1:59 PM UTC, Apr 20, 2019

FINAS, KARYAWAN Akan Terus Bantu Ooi Eow Jin

  • Published in Hiburan

PETALING JAYA – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) akan terus menghulurkan bantuan kepada Datuk Ooi Eow Jin bagi meringankan beban beliau.

Penggubah dan pencipta lagu tersohor berusia 80 tahun itu, yang disahkan menghidap Alzheimer pada 2015, kini menjalani kehidupan dengan dijaga isterinya, Datin Elaine Khaw.

Di samping mengurus kehidupan Ooi, Khaw juga menjual biskut bagi menyara suami dan anak lelaki mereka, Raymond, 54, yang menghidap tumor otak sejak berusia 14 tahun.

Sepanjang mengabdikan diri dalam bidang muzik selama empat dekad bermula pada 1960-an, Ooi pernah berganding bahu dengan penghibur terkenal seperti Tan Sri P. Ramlee, Datuk Sudirman Hj Arshad, Datin Rafeah Buang, Datuk M. Nasir, Salamiah Hassan, Francis Yip dan kumpulan Alleycats.

Ketua Pengarah FINAS Datuk Fauzi Ayob melahirkan keprihatinan beliau tentang keadaan kesihatan Ooi ketika melawat pemuzik terkenal itu hari ini.

Beliau berkata memandangkan sumbangan Ooi kepada industri muzik negara ini tidak ternilai harganya, FINAS akan terus membantu beliau.

Semasa lawatan Datuk Fauzi menyampaikan sumbangan FINAS kepada Ooi.

Sementara itu, presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez, yang turut hadir, menyifatkan Ooi sebagai legenda dalam industri muzik tanah air.

((BERNAMA))