Saturday, August 19, 2017
vital-top
updated 3:02 AM UTC, Aug 19, 2017

KPDNKK Melaka Keluarkan Kompaun Lebih RM130,000 Bagi 186 Kes Dalam Op Catut

Melaka - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Melaka mengeluarkan kompaun berjumlah RM131,350 bagi 186 kes dalam Op Catut yang memeriksa lebih 59,000 premis bermula 17 Jan hingga semalam.

Timbalan Pengarah KPDNKK Melaka Jamil Buang berkata pihaknya turut merampas pelbagai barangan dan produk bernilai lebih RM74,000 bagi kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011; Akta Perihal Dagangan (APD) 2011; dan Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972 sepanjang tempoh berkenaan.

Daripada jumlah itu, 111 kes disiasat mengikut AKHAP 2011 dengan nilai kompaun RM102,900; 64 kes ATS 1972 dengan nilai kompaun RM24,700 dan 11 kes APD 2011 dengan nilai kompaun RM3,750.

"Sebanyak 12 kes telah dibawa ke mahkamah dan sembilan daripadanya telah selesai manakala tiga kes lagi masih dalam proses mahkamah," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2015 di sebuah pasar raya di Peringgit hari ini.

Sementara itu, beliau berkata KPDNKK Melaka akan membuka tiga kaunter masing-masing di Pasar Besar Melaka Sentral, Pasar Besar Alor Gajah dan Pasar Besar Jasin bagi memantau pelaksanaan skim kawalan harga musim perayaan Krismas selama lima hari bermula Rabu.

Katanya seramai 70 anggota KPDNKK Melaka juga akan ditempatkan di pasar raya bagi memantau harga 16 jenis barangan yang dikawal antaranya ayam, telur ayam, sayuran, kambing, tomato dan cili benggala hijau dalam tempoh lima hari itu.

Jamil berkata KPDNKK Melaka memandang serius sikap peniaga yang cuba menaikkan harga sesuka hati terutama pada musim perayaan dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhinya.

"Peniaga diingatkan agar menjual barangan terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi mengelak tindakan undang-undang diambil terhadap mereka," katanya.

Jamil berkata peniaga yang gagal meletakkan tanda harga merah jambu bagi barangan terkawal boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau kompaun RSH sehingga RM5,000.