24 Oktober 2014
galaksi tv1 tv2

Articles

AMSA Kerah Enam Pesawat Cari MH370

Kuala Lumpur - Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) mengerahkan enam pesawat untuk menyertai operasi mengesan pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi.

AMSA dalam satu kenyataan, menyebut bahawa sebuah pesawat P3 Orion milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) berlepas kira-kira 9 pagi (waktu Australia Timur) sementara dua pesawat komersial perjalanan jarak jauh berlepas pada 9.15 pagi.

"Pesawat kedua P3 Orion RAAF dijadual berlepas pada 11 pagi, manakala P3 Orion milik New Zealand pula pada pukul 1 tengah hari, dan pesawat ketiga P3 Orion RAAF dijangka terbang keluar pada 3 petang," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah bahawa disebabkan jarak perjalanan pergi balik ke lokasi pencarian yang jauh, pesawat P3 Orion yang terbabit hanya mempunyai masa pencarian selama dua jam.

Pesawat komersial perjalanan jarak jauh pula mempunyai masa pencarian kira-kira lima jam, menurut kenyataan itu lagi. Selain itu, dua kapal dagang sudah berada di kawasan pencarian sementara kapal Tentera Laut Diraja Australia HMAS Success dijangka tiba lewat petang Sabtu.

"Empat boya penanda yang digugurkan di kawasan pencarian awal minggu ini masih menghantar data mengenai pergerakan air ke AMSA," menurut kenyataan itu.

Popular