Saturday, 28 November 2020

updated 7:58 AM UTC, Nov 28, 2020

Aplikasi Mobil 'Rakyat Responz' Mudahkan Rakyat Salur Aduan, Cadangan

 

Putrajaya  - Biro Pengaduan Awam (BPA) memperkenalkan Rakyat Responz, satu aplikasi telefon pintar bagi memberi kemudahan kepada orang ramai menyalurkan aduan dan cadangan secara terus kepada agensi kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan berkata aplikasi ini merupakan platform terbaharu, selain Sistem Pengurusan Aduan Awam yang sedia ada, untuk memastikan semua aduan awam dapat diselesaikan dengan cekap, adil dan berkesan.

Beliau berkata aplikasi inovatif itu membolehkan respons masa nyata terhadap segala isu atau aduan yang disalurkan oleh rakyat.

"Selain aduan, orang ramai dapat juga mengemukakan pertanyaan, cadangan dan penghargaan kepada agensi kerajaan. Setiap kementerian, agensi dan jabatan ditetapkan sasaran tempoh masa 15 hari bagi menyelesaikan aduan yang dibuat.

Ini akan menjadi sebahagian Petunjuk Prestasi Utama mereka," katanya pada sidang media selepas melancarkan Rakyat Responz dan Seminar Pengurusan Aduan 2016.

Menurut Low, jaringan dan liputan 'Rakyat Responz' merangkumi semua kementerian, jabatan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan juga pihak berkuasa tempatan.

Katanya, orang ramai boleh memuat turun aplikasi mobil Rakyat Responz daripada pautan https://i.diawi.com/qQixQv sebelum diperluaskan ke App Store, Google Play dan Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (Gamma).

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan orang ramai mengambil peluang untuk memuat turun aplikasi ini yang sangat berguna kepada mereka yang hendak menyalurkan aduan, pertanyaan, cadangan atau penghargaan kepada kerajaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah BPA Datuk Harjeet Singh berkata sepanjang 2015, BPA telah menerima sejumlah 6,388 aduan dan daripada jumlah itu, 3,892 aduan (60.9 peratus) adalah terhadap kementerian, jabatan Kerajaan Persekutuan dan agensi.

  • Ditulis oleh BeritaRTM
  • Kategori: Teknologi
  • Jumlah paparan: 298