Sunday, 17 January 2021

updated 12:18 PM UTC, Jan 17, 2021

Lembaga Multimedia Sarawak dan MCMC tingkat jalur lebar ke kawasan kurang dapat perkhidmatan

  • Published in Teknologi

KUCHING, 30 November - Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah bersetuju secara prinsip mengenai keperluan mendesak untuk meningkatkan kesalinghubungan jalur lebar ke kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan di negeri itu.

Kedua-dua agensi berkenaan akan bekerjasama rapat bagi memastikan sinergi dan pelaksanaan projek dapat dilaksanakan dengan cekap.

Inisiatif Telekomunikasi Luar Bandar SMA (SMART) yang menyasar untuk membina 600 menara telekomunikasi di seluruh Sarawak merupakan satu daripada asas untuk merealisasikan Strategi Ekonomi Digital 2018-2022 bagi Sarawak.

Menurut kenyataan SMA, sehingga kini 202 menara telah disiapkan di bawah fasa pertama projek SMART First 300 dan 98 menara lagi sedang dalam pembinaan yang disasarkan siap menjelang 2021.

Selain itu, SMA juga mengumumkan penempatan Terminal Satelit Apertur Sangat Kecil (V-SAT) di bawah Pelan Sarawak Multimedia Authority Linking Urban, Rural and Nation (SALURAN 200) sebagai penyelesaian kesalinghubungan interim ke kawasan yang disasarkan.

Manakala MCMC telah mengenal pasti 636 lokasi di Sarawak dalam permulaan Fasa 1 Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada aspirasi untuk meningkatkan liputan 4G di seluruh negara kepada 96.9% di kawasan berpenduduk membabitkan 1,661 lokasi di seluruh negara menjelang 2022.