Sunday, 6 December 2020

updated 2:28 PM UTC, Dec 5, 2020

UnisZA guna teknologi AR hasil buku adab kanak-kanak

  • Published in Teknologi

KUALA NERUS, 19 Oktober - Satu Aplikasi telefon pintar yang mengandungi teknologi realiti terimbuh (AR) dibangunkan sekumpulan pensyarah Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin, UniSZa bagi menarik minat pelajar dengan pembelajaran yang lebih mudah dan menyeronokkan dalam pengajaran adab dan akhlak Islam.

Produk Inovasi UniSZa 'My Shakhsiyyah AR' yang bermaksud 'Sahsiahku' ini dibangunkan sejak Mei tahun lalu bagi tujuan memberi penerangan tentang sifat mulia yang perlu dimiliki setiap muslim berdasarkan pandangan Imam al-Ghazali.

Ketua Projek Inovasi, Dr Mohd Hasrul Shuhari berkata aplikasi mudah ini hanya perlu diimbas dan ia akan memaparkan pada skrin telefon pintar dalam bentuk animasi dua dan tiga dimensi dengan sasaran kanak-kanak berusia enam tahun ke atas.

Menerusinya, murid akan lebih seronok dengan kombinasi grafik, audio dan teks yang memaparkan video bacaan al-Quran, animasi rehal yang mengandungi ayat al-Quran, permainan video serta kamus pengajian Islam yang turut mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka.

Menariknya aplikasi 'My Shakhsiyyah AR' yang turut mendapat kepakaran pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ini juga telah menerima 10 Anugerah dari enam pertandingan inovasi pelbagai peringkat.