Thursday, November 23, 2017
vital-top
updated 9:49 AM UTC, Nov 23, 2017

KPDNKK Bakal Lancar Aplikasi Papar Harga Bantu Pengguna

TEMERLOH  - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan melancarkan satu aplikasi baharu yang membolehkan pengguna di seluruh negara mendapat maklumat mengenai kedai runcit dan restoran menjual barangan dengan harga berpatutan.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Aplikasi Paparan Harga atau 'Price Catcher' itu, dijangka dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 1 Nov depan.

"Setiap hari harga barangan dalam aplikasi itu akan berubah kerana kita mempunyai satu sistem (pemantauan harga) yang telah diguna pakai sebelum ini dan diberi penambahbaikan dengan bantuan maklumat daripada FOK (Friends of KPDNKK) kerana sebagai pengguna mereka lebih tahu tentang lokasi dan kedai menjual barangan dengan harga berpatutan.

"Menerusi aplikasi itu pengguna khasnya FOK juga berpeluang berinteraksi secara langsung menyalurkan sebarang maklumat tentang pelanggaran undang-undang berkaitan kepenggunaan kepada kementerian ataupun permasalahan kekurangan sesuatu barangan keperluan seperti minyak masak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan FOK peringkat Pahang.

Hamzah berkata aplikasi berkenaan boleh dimuat turun menerusi 'Playstore' di telefon bimbit masing-masing, dan ia kini dalam proses kemaskini pada peringkat akhir sebelum pelancarannya dilakukan awal bulan depan.

(Sumber - Bernama)