Tuesday, October 17, 2017
vital-top
updated 7:20 AM UTC, Oct 17, 2017

Rakyat Malaysia Diminta Manfaatkan Dunia Digital Untuk Bersaing

KUALA LUMPUR  - Rakyat Malaysia diminta memanfaatkan dunia digital untuk bersaing, termasuk dalam dunia perniagaan, sekali gus membantu mempertingkat kehidupan seharian mereka, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata rakyat perlu menerima realiti bahawa dunia digital kini menentukan arah tuju peradaban dunia.

"Dunia digital telah merasuk kehidupan seharian kita sehingga menjadi 'our second life' (kehidupan kedua kita). Dalam menggunakannya, kita perlu mampu bersaing dan menjadi 'smart digital creators' (pencipta digital pintar) yang dapat mencipta 'online business activites' (aktiviti perniagaan dalam talian) bagi menghasilkan faedah kewangan.

"Hari ini kebergantungan kepada dunia digital luar biasa sekali. Sebelum tidur kita melihat maklumat di layar maya dan selepas bangun tidur, kita juga terus melihat maklumat di layar maya. Itulah kebergantungan kita kepada teknologi digital.

"Jikalah generasi hari ini ditanya tentang jenama terulung, tentunya ramai yang akan menjawab Google atau Facebook atau Yahoo. Ini kerana generasi hari ini adalah 'digital natives' (natif digital) yang sangat bergantung kepada penggunaan internet dalam kehidupan seharian," katanya dalam catatan terbaharu di blog beliau.

Salleh berkata kepentingan dunia digital juga semakin ketara apabila 50 peratus daripada 7.5 bilion penduduk dunia mempunyai internet.

"Ini membuktikan masyarakat dunia hari ini adalah masyarakat digital yang tidak dapat berenggang dengan internet atau smartphone (telefon pintar).

"Dunia digital ini mempunyai kebaikan yang banyak - membolehkan komunikasi dalam jarak yang jauh, meluaskan pengetahuan dan kefahaman mengenai dunia, memesan barangan, menghantar teks, dan mendapatkan maklumat dengan cepat dan pantas," katanya.

Bagaimanapun, katanya, tidak semua negara mempunyai kemudahan itu.

Negara-negara di benua Afrika seperti Chad, Togo, Ivory Coast, Mali, Rwanda, dan Burundi, misalnya, masih jauh ketinggalan dalam teknologi itu.

"Ini mewujudkan jurang digital dan kekayaan antara negara menjadi semakin jauh dan luas," katanya.

Salleh berkata Malaysia juga mengalami jurang digital, khususnya penembusan internet di kawasan bandar dan luar bandar, dan kerajaan sedang berusaha mengatasi masalah itu.

"Walaupun kita masih mempunyai jurang digital, namun penggunaan WhatsApp di negara kita adalah tertinggi di dunia," katanya.

Selain itu, kadar penembusan internet di Malaysia juga tinggi iaitu 70 peratus.

((Sumber - Bernama)