Tuesday, October 17, 2017
vital-top
updated 7:20 AM UTC, Oct 17, 2017

Kukuhkan Ketahanan Siber Untuk Hadapi Cabaran 4IR

CYBERJAYA - Keselamatan siber adalah perkara penting yang perlu diperkukuh dalam era Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), kata Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur.

Selain berpotensi untuk memperkasa, mentransformasi dan menyelaraskan semula individu serta komuniti kerana ia mewujudkan peluang baharu untuk pembangunan ekonomi, sosial dan peribadi, 4IR mempunyai cabarannya tersendiri dari segi keselamatan siber, katanya.

"Disokong oleh kemajuan pesat teknologi termasuk kecerdasan buatan, robotik, Internet of Things, teknologi nano dan bioteknologi, tiada keraguan lagi bahawa 4IR berpotensi memperkasa seluruh sektor dan memberi kesan kepada semua disiplin, ekonomi dan industri.

"Bagaimanapun, seperti mana-mana transformasi, apabila kita memasuki Revolusi Perindustrian Keempat kita perlu lebih berwaspada dengan kenyataan bahawa transformasi ini tidak (akan berlaku) tanpa cabarannya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaannya di Forum Tadbir Urus Internet Malaysia ke-2 (MYIGF) di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Kamel Mohamad.

(Sumber - Bernama)