Tuesday, October 17, 2017
vital-top
updated 7:20 AM UTC, Oct 17, 2017

Ketua Menteri Sarawak Melawat Syarikat Teknologi 3D Di Perancis

PARIS - Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang dalam lawatan terakhirnya selama dua minggu di Eropah, melawat Dassault Systèmes berhampiran ibu negara Perancis pada Isnin.

Dassault Systèmes ialah syarikat saintifik dan perisian multinasional Perancis yang membangunkan reka bentuk 3D, model digital 3D dan perisian pengurusan kitaran produk dengan pelanggannya di seluruh dunia.

Ketua menteri yang diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani diberi taklimat oleh pegawai kanan syarikat itu mengenai latar belakang, produk dan operasi di seluruh negara serta memberikan demonstrasi simulasi 3D untuk penyelesaian projek tertentu.

Mengucapkan terima kasih kepada syarikat itu kerana menerima kunjungan delegasinya, beliau berkata teknologi 3D dapat menyediakan alat berguna kepada Sarawak untuk meminimumkan pencemaran alam sekitar, membangunkan model bagi memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan awam dan bahan mentah untuk pelepasan sifar bahan api.

Sebelum tiba di Perancis, Abang Johari dan delegasinya telah mengadakan lawatan ke Findland, Estonia dan Jerman dengan misi untuk mendapatkan maklumat tentang dasar, meneroka teknologi dan pengalaman baharu serta mewujudkan platform untuk kerjasama dalam usaha Sarawak untuk mendigitalkan ekonominya.

 

Sumber : BERNAMA