Tuesday, October 17, 2017
vital-top
updated 7:20 AM UTC, Oct 17, 2017

Bahasa Rojak Di Media Sosial, Cabaran Martabatkan Bahasa Melayu

KUALA LUMPUR  - Penggunaan bahasa rojak, slanga atau khidmat pesanan ringkas (SMS) di media sosial sehingga mempengaruhi cara berbahasa di alam realiti, adalah antara cabaran yang perlu ditangani bagi memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pengguna media sosial dilihat menekankan kepantasan mesej yang mahu disampaikan, berbanding penggunaan bahasa dan tatabahasa yang betul.

Sehubungan itu, golongan masyarakat tanpa mengira umur perlu terus menggunakan Bahasa Melayu dengan baik di samping memartabatkan penggunaan bahasa itu tanpa mengira keadaan, katanya semasa melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2017 peringkat kebangsaan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Alias Ahmad.

Mahdzir turut menyarankan agar penggunaan bahasa kebangsaan terus diperkasa khususnya dalam sektor kerajaan, swasta dan di tempat awam.

(Sumber -Bernama)