Monday, November 20, 2017
vital-top
updated 3:10 PM UTC, Nov 20, 2017

Cetak Rompak Digital Merugikan Pengguna - CFM

KUALA LUMPUR  - Sebagai sebuah organisasi yang memberi fokus kepada hak-hak pengguna, Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) menggesa pengguna untuk lebih berwaspada terhadap bahaya cetak rompak digital yang dilihat semakin berleluasa dan dapat menjejaskan pengguna.

Dalam satu kenyataan, CFM berkata pengguna yang melanggan perkhidmatan disediakan oleh penyedia perkhidmatan tidak berlesen dikira terlibat dengan kegiatan cetak rompak digital, tidak kira sama ada langganan dalam bentuk perkhidmatan penstriman haram atau perkhidmatan televisyen (TV) satelit tanpa lesen.

Menurut CFM cetak rompak digital bukan sahaja menjejaskan media dan syarikat penyedia kandungan tetapi juga berisiko memudaratkan pengguna.

"Sekiranya terdapat masalah daripada langganan perkhidmatan kandungan tidak berlesen, pengguna tidak akan mendapat penyelesaian juga ganti rugi daripada pihak berkuasa yang berkaitan mahupun membuat aduan rasmi kerana perkhidmatan tersebut tidak didaftarkan secara sah.

Pengguna juga berisiko untuk kehilangan wang tanpa sebarang notis apabila pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas perkhidmatan haram tersebut," kata CFM.

Di samping itu, perkhidmatan TV satelit dan penstriman tidak sah ini menyediakan kandungan tidak ditapis yang boleh mendedahkan pengguna terutamanya kanak-kanak kepada kandungan yang tidak sesuai dan tidak diingini.

Selain itu, membeli peranti kandungan yang tidak disahkan juga mempunyai ancaman tersendiri kerana peralatan tersebut tidak diperakui keselamatannya dan tidak mempunyai pensijilan yang diiktiraf serta mempunyai risiko kerosakan lebih tinggi sehingga boleh menyebabkan kerosakan pada peralatan lain.

"Pengguna juga berhadapan dengan risiko 'dijangkiti' 'perisian jahat' atau malware apabila memasang peranti dekoder (set-top boxes) dengan aplikasi licik pada rangkaian jalur lebar rumah. Ia boleh menyebabkan pengguna terdedah kepada kecurian data persendirian dan jenayah siber lain," kata CFM.

Menurut laporan akhbar tempatan pada April tahun ini, pihak polis telah menahan beberapa ahli sindiket yang dipercayai terlibat dalam menawarkan perkhidmatan TV satelit haram yang dipercayai telah beroperasi sejak tahun 2015 dan telah melibatkan lebih daripada 30,000 pelanggan di seluruh negara.

CFM berkata pengguna perlu mendapatkan maklumat yang sah bagi mengelakkan diri daripada mudah ditipu dengan tawaran langganan perkhidmatan yang tidak terkawal ini.

(Sumber - Bernama)