Tuesday, September 26, 2017
vital-top
updated 3:17 AM UTC, Sep 26, 2017

Keselamatan Siber, Komponen Penting Dalam Pembangunan Teknologi

KUALA LUMPUR  - Keselamatan siber, satu teknik pencegahan untuk melindungi integriti jaringan, program dan data daripada jenayah atau penggunaan data elektronik yang tidak dibenarkan, ialah komponen penting dalam pembangunan teknologi dan perlu dimasukkan dalam peringkat awal pembangunan sedemikian.

Ketua Pegawai Eksekutif Cyber Security Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata keselamatan siber perlu diberi keutamaan dalam peringkat awal pembangunan dan tidak harus ditinggalkan sebagai satu peredaran zaman yang mana pendigitalisan berkembang pada kelajuan pesat dan mengganggu hampir setiap industri di seluruh dunia.

"Banyak pemaju teknologi bukan pakar keselamatan siber dan meninggalkan aspek keselamatan siber selepas teknologi itu dibangunkan. Tindakan sedemikian akan menyebabkan teknologi mudah terdedah dan disebabkan itu, teknologi tidak dapat melangkah jauh dan cepat.

"Pengurusan tertinggi atau anggota lembaga pengarah sesebuah syarikat juga perlu menjadikan isu keselamatan siber sebagai satu kebimbangan penting dan bukannya menyerahkan perkara itu kepada jabatan IT (teknologi maklumat)," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pendigitalisan dan Industri 4.0.

Untuk itu katanya, latihan dan latihan semula pekerja dalam aspek keselamatan siber adalah sangat penting untuk memastikan mereka peka terhadap isu keselamatan siber dan memahami bagaimana serangan siber boleh dilakukan ke atas data elektronik syarikat mereka.

(Sumber -Bernama)