Wednesday, September 20, 2017
vital-top
updated 4:01 PM UTC, Sep 20, 2017

STEM Untuk Pelajar Jadi Pekerja Berkemahiran Tinggi

GEORGE TOWN  - Kementerian Pendidikan menjalankan pelbagai usaha untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa dan pelajar bahawa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) adalah penting untuk mempersiapkan pelajar menjadi pekerja berkemahiran tinggi sebagaimana yang diperlukan industri.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P.Kamalanathan berkata pihaknya percaya usaha itu juga akan membantu meningkatkan jumlah pelajar sekolah menggemari sains sekali gus mencapai sasaran 60 peratus pelajar aliran itu.

"Sebenarnya usaha itu juga adalah antara inisiatif kerajaan bagi meningkatkan minat pelajar untuk menyertai aliran berkaitan STEM di sekolah bagi membolehkan sasaran dasar 60:40 dapat direalisasikan dan seterusnya memastikan peningkatan enrolmen murid bidang itu.

"Walaupun kami lihat peningkatan pendidikan STEM itu semakin baik tetapi jumlah pelajar yang menyertai aliran berkenaan khususnya di sekolah menengah masih rendah dan sebagai contoh setiap tahun kira-kira 400,000 pelajar mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun hanya 150,000 hingga 160,000 orang sahaja mengambil aliran itu.

"Sasaran Kementerian Pendidikan pada 2020 nanti ialah sekurang-kurangnya 50 peratus pelajar menyertai aliran STEM dan jumlah itu akan terus meningkat dari semasa ke semasa kerana peluang pekerjaan dalam bidang itu adalah lebih 70 peratus," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kolokium STEM 2017 Zon Utara.

(Sumber - Bernama)