Friday, July 28, 2017
vital-top
updated 4:09 AM UTC, Jul 28, 2017

Kerajaan Tiada Hasrat Sekat Aplikasi Telegram

KUALA LUMPUR  - Kerajaan tidak berhasrat untuk menyekat penggunaan aplikasi Telegram di Malaysia pada masa ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Walaupun Indonesia telah mengharamkan penggunaan aplikasi Telegram kerana wujud unsur membabitkan keganasan, beliau berkata pemantauan setakat ini mendapati tiada sebarang elemen penyebaran unsur-unsur jenayah dan keganasan melalui Telegram di negara ini.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, menegaskan kerajaan menghormati hak peribadi pengguna di negara ini dan tidak berhasrat untuk mencampuri 'chatting' pengguna Telegram.

"Penelitian KDN (Kementerian Dalam Negeri) khasnya Unit Anti Keganasan dan Cawangan Khas PDRM mendapati bahawa aplikasi (Telegram) setakat ini tidak mengandungi unsur-unsur yang melibatkan berlakunya jenayah, jauh sekali daripada perbuatan merekrut atau untuk memperoleh dana bagi membiayai aktiviti keganasan,"katanya kepada wartawan selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Jakel Mall.

(Sumber - Bernama)