Saturday, November 18, 2017
vital-top
updated 9:15 AM UTC, Nov 18, 2017

16,000 Pengerusi JKKK Akan Guna Sistem E-tadbir Urus Desa

ALOR SETAR  - Semua 16,000 pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh negara akan menggunakan sistem baharu dalam talian iaitu e-tadbir urus desa tidak lama lagi, bagi memudahkan penyediaan serta penyampaian laporan dan minit mesyuarat di peringkat kampung.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata sistem yang sedang dibangunkan kementeriannya itu akan diguna pakai oleh semua pengerusi JKKK bagi membolehkan mereka memasukan sebarang maklumat secara terus ke dalam sistem seperti masalah yang berlaku di kawasan kampung.

"Pihak kementerian melalui bahagian yang terlibat juga boleh mengetahui bentuk keperluan yang diperlukan di kampung-kampung tertentu bagi membolehkan bantuan diberikan," katanya selepas merasmikan majlis penutup Program Sijil Tadbir Urus Infra-UniKL Zon Utara.

Seramai 1,200 Pengerusi JKKK dari Kedah, Perak, Perlis dan Pulau Pinang termasuk kepimpinan JKKK masyarakat Orang Asli hadir pada program Sijil Tadbir Urus Desa selama tiga hari itu yang bertujuan untuk memperkasakan mereka dengan ilmu kemahiran tadbir urus desa yang lebih profesional.

"Masih ramai antara mereka yang tidak berkemahiran dalam bidang teknologi jadi melalui kursus ini, mereka telah diberi pendedahan tentang penggunaan ilmu teknologi dan digital. Ini juga selaras dengan usaha pembangunan sistem e-tadbir urus desa.

(Sumber - Bernama)