Thursday, May 24, 2018
vital-top
updated 1:31 PM UTC, May 24, 2018

Petrosains Anjur Pameran DinoTrek2 Di Kuching

  • Published in Teknologi
Foto: Google

KUCHING -  Petrosains menganjurkan Pameran DinoTrek2 selama setahun di Dewan Suarah di sini bagi memberi peluang kepada orang ramai terutamanya kanak-kanak untuk 'bertemu' beberapa dinosaur ganas seperti Tyrannosaurus Rex dan Spinosaurus.

Pameran itu, yang dirasmikan hari ini oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani, merupakan komponen Petrosains PlaySmart dan diadakan sehingga Mac tahun depan.

Petrosains DinoTrek adalah pameran dinosaur bergerak yang diadakan buat pertama kalinya di Suria KLCC pada 2003 sebelum menjelajah ke Sabah, Kedah, Johor, Terengganu, Pahang dan Pulau Pinang.

Ia menampilkan sembilan dinosaur animatronik, 12 paparan interaktif selain menawarkan aktiviti interaktif.

Pameran itu antara lain menampilkan 'aksi' dinosaur Maiasaurus melindungi telurnya, Protoceratops menyelamatkan anak-anaknya daripada dinosaur Velociraptor dan dinosaur paling ganas, Tyrannosaurus Rex.

Semasa berucap pada majlis itu, Mohamad Morshidi berkata kerjasama antara kerajaan negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak dengan Petronas menerusi Petrosains akan menyokong agenda sosial negeri dalam membangunkan masyarakat berpengetahuan dan bersosial.

Kerjasama seperti ini perlu diteruskan bagi mendorong masyarakat ke arah pembelajaran selain menimbulkan minat terhadap sains dan teknologi.

Beliau harap lebih ramai rakyat Sarawak terutama generasi muda akan meminati dan melibatkan diri dalam bidang sains dan teknologi, yang akhirnya membantu memacu pembangunan dan pertumbuhan tinggi di Sarawak.

Pengerusi Lembaga Pengarah Petrosains Zahariah Abdul Rahman pula berkata pameran DinoTrek2 dan Petrosains PlaySmart merupakan komitmen serta sumbangan Petronas dalam bidang pendidikan tidak rasmi kepada rakyat Sarawak.

Ia merupakan contoh tentang bagaimana kita boleh bekerjasama dengan sektor awam dalam menghasilkan program yang memberi manfaat kepada orang ramai menerusi platform pendidikan sains secara lebih menarik dan tidak formal.

((BERNAMA))