Thursday, May 24, 2018
vital-top
updated 1:31 PM UTC, May 24, 2018

HRDF Latih Pekerja Untuk Hadapi Revolusi Industri Ke 4

  • Published in Teknologi
Foto:Google

KUALA LUMPUR - Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) akan terus menjadi salah satu pemain utama dalam usaha menyediakan latihan yang relevan bagi tenaga kerja Malaysia untuk menghadapi Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).

Ketua eksekutif HRDF, Datuk C.M. Vignaesvaran Jeyandran berkata agensi itu sekarang memberi penekanan kepada usaha melatih dan melengkapkan pekerja dengan kemahiran yang diperlukan oleh industri dalam landskap IR4.0.

Untuk tujuan itu, kami telahpun bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi, industri berkaitan dan sektor swasta untuk menyediakan program latihan yang lebih dinamik untuk pekerja di Pusat Kecemerlangan Teknologi (CoETs) meliputi IR4.0 di seluruh negara.

Beliau berkata demikian kepada BERNAMA. 

Sehingga kini, HRDF, yang dianggap sebagai penyedia perkhidmatan latihan terkemuka di Malaysia, menawarkan sekurang-kurangnya 15 jenis program latihan berkaitan IR4.0 termasuk pengkomputeran awan, keselamatan siber, pendigitalan bagi industri media serta kursus automasi robotik.

Malaysia menyasarkan untuk muncul antara 20 ekonomi teratas di dunia menjelang 2050. Untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi, sekurang-kurangnya 43 peratus tenaga kerja hendaklah terdiri daripada pekerja mahir. Pada masa ini, pekerja mahir di negara ini adalah kira-kira 28 peratus.

Datuk C.M. Vignaesvaran  berkata pada masa yang sama, program latihan di kawasan lain tidak hanya akan diteruskan tetapi juga akan ditambah baik dan dikembangkan dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan majikan.

Beliau berkata HRDF juga menyediakan latihan untuk graduan baharu dalam usaha menyediakan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk memasuki pasaran kerja.

Satu daripada program itu ialah Program Peningkatan Graduan untuk Penggajian atau ?Graduates Enhancement Programme for Employability? (Generate) yang dilaksanakan tahun lepas untuk graduan yang menganggur sekurang-kurangnya enam bulan selepas menamatkan pengajian.

Datuk C.M. Vignaesvaran  berkata sehingga Mac tahun ini, HRDF telah melatih 2.6 juta pekerja dalam pelbagai bidang dan kepakaran termasuk pengurusan, perakaunan dan kewangan, makanan dan minuman, perubatan dan penjagaan kesihatan, keselamatan, maritim, teknologi tinggi, bioteknologi dan kimia.

Lebih 2 juta pekerja telah memperolehi manfaat daripada program tersebut . Untuk masa depan, pihaknya  menyasarkan untuk menyediakan latihan bagi kira-kira 3 juta pekerja di seluruh negara.

Statistik HRDF juga menunjukkan bahawa lebih 22,476 majikan telah mendaftar dengan agensi itu setakat ini.

((BERNAMA))