Monday, June 25, 2018
vital-top
updated 12:01 PM UTC, Jun 25, 2018

Semak, Bayar Kompaun Trafik DBKL Guna Aplikasi ' DBKL MOBIS'

  • Published in Teknologi

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini melancarkan aplikasi mudah alih 'DBKL Mobis' bagi memudahkan orang awam menyemak dan membuat pembayaran notis kompaun trafik DBKL secara dalam talian.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata aplikasi itu boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store bagi pengguna Android dan App Store untuk pengguna peranti mudah alih IOS.

Aplikasi tersebut  memudahkan orang ramai membuat semakan dan pembayaran serta-merta dengan lebih pantas tanpa perlu hadir ke kaunter atau menunggu notis dihantar ke rumah.

Orang ramai disaran merebut peluang tawaran diskaun yang masih berjalan untuk selesaikan bayaran kompaun sebelum ia berakhir pada 30 Jun ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi baharu tersebut di Kuala Lumpur.

Beliau berkata aplikasi itu akan dipertingkatkan dengan tambahan dua lagi modul iaitu Modul Semakan dan Bayaran Cukai Taksiran serta Modul Semakan dan Bayaran Lesen Perniagaan yang dijangka siap pada Ogos ini.

Aplikasi itu turut menyediakan talian Hotline DBKL serta senarai lokasi Pejabat Kaunter Bayaran yang dihubungkan terus kepada aplikasi pandu arah menerusi ‘Waze’ dan ‘Google Map’.

Katanya, penghasilan aplikasi mudah alih inisiatif kakitangan DBKL itu sekali gus meningkatkan produktiviti, kualiti penyampaian perkhidmatan DBKL serta tahap kepuasan pelanggan.

((BERNAMA))