Sunday, June 16, 2019

updated 11:31 AM UTC, Jun 16, 2019

Sukan Mampu Lahir Pelajar Dan Masyarakat Optimis, Berkualiti – Raja Muda Perlis

  • Published in Sukan

Arau - Amalan gaya hidup sihat melalui kegiatan sukan mampu melahirkan golongan pelajar dan masyarakat yang optimis serta berkualiti, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah dengan mengoptimumkan kegiatan sukan secara berterusan, risiko untuk dihinggapi penyakit seperti lemah jantung, kencing manis dan darah tinggi disebabkan kegagalan fungsi sistem kardiovaskular dapat dikurangkan.

Raja Muda bertitah gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan juga membantu menguatkan otot-otot sekali gus melancarkan peredaran darah dan oksigen dalam tubuh.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan majlis penutup Kejohanan Olahraga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-7, Tahun 2016 di Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis di sini, malam tadi.

Seramai 601 atlet MRSM seluruh negara mengambil bahagian dalam kejohanan bertemakan 'Passion For Gold' bermula 30 Julai hingga 2 Ogos dengan MRSM Beseri bertindak sebagai penganjur pertandingan.