Sunday, June 16, 2019

updated 11:31 AM UTC, Jun 16, 2019

Semua Pihak Akan Terbabit Dengan Struktur Baharu Bola Sepak

  • Published in Sukan

 

Kuala Lumpur -  Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengatakan satu struktur baharu bola sepak akan diwujudkan dengan membabitkan semua pihak yang berminat dengan sukan itu.

Menurutnya, skop kerjasama antara semua pihak itu boleh diusahakan demi kebaikan bola sepak negara.

"Tugas saya adalah untuk lihat bagaimana kita dapat membawa semua pihak itu terlibat sama dalam struktur baharu yang akan kita hasilkan nanti," katanya selepas majlis memperkenalkan pelumba GP2 dan GP3.

Menurut Khairy, idea itu dicetuskan dalam pertemuan dengan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik pasukan Johro Darul Ta'zim (JDT) Rabu lepas.

"Saya percaya ada skop kerjasama yang boleh diusahakan. Ada beberapa perkara yang perlu tindakan susulan yang akan diambil oleh saya dan Tunku Ismail," katanya.

Menurut Khairy, pertemuan lebih dua jam dengan Tunku Ismail itu cukup positif dengan banyak idea dibincangkan.

Mengulas lanjut mengenai perjumpaan tersebut, Khairy berkata struktur baharu yang bakal diwujudkan itu akan turut melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).