Tuesday, June 18, 2019

updated 3:21 PM UTC, Jun 18, 2019

Malaysia Jatuh Ke Kedudukan Terendah Dalam Ranking FIFA

  • Published in Sukan

 

Kuala Lumpur - Skuad Harimau Malaysia jatuh ke posisi terendah dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila menghuni kedudukan ke-174 menerusi ranking terbaharu yang dikeluarkan.

Untuk rekod, Malaysia berada pada kedudukan ke-171 dunia pada Januari dan Februari, sebelum naik lima anak tangga ke kedudukan ke-166 dunia pada Mac.

Kejatuhan mendadak ranking skuad kebangsaan itu berikutan kekalahan 0-2 kepada Arab Saudi pada perlawanan terakhir Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di tempat lawan, 24 Mac lepas.

Selain itu, keputusan seri tanpa jaringan menentang pasukan ranking ke-190 dunia, Macau di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 28 Mac lepas, turut menjadi faktor kemerosotan ranking skuad kebangsaan.

Kedudukan terbaharu itu meletakkan Malaysia sebaris dengan beberapa negara yang tidak mempunyai kemudahan bola sepak yang lengkap seperti Samoa (170), Timor Leste (175), Bangladesh (177) dan Nepal yang berada di kedudukan ke-179.

Ranking terbaik yang pernah dicapai Malaysia ialah di kedudukan ke-75 pada 1993.

Tuan rumah bersama Piala AFF Suzuki 2016, Filipina menunjukkan peningkatan ketara dalam kalangan negara Asia Tenggara apabila melonjak 19 anak tangga ke kedudukan ke-116 dunia.