Thursday, June 20, 2019

updated 2:56 AM UTC, Jun 20, 2019

MHC yakin pemain hoki negara mampu beraksi cemerlang sempena Kejohanan FIH

  • Published in Sukan

Foto : FB MHC

KUALA LUMPUR - Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yakin pemain hoki negara mampu beraksi cemerlang sempena Kejohanan FIH Siri Akhir Lelaki yang berlangsung pada 26 April hingga 4 Mei ini.

Sekali gus memudahkan Malaysia untuk berada dalam kumpulan pertama bagi sesi kelayakan Olimpik, November depan.

Namun demikian, China yang berada di kedudukan ke-14 dunia, dilihat bakal menyukarkan Malaysia memandangkan kedua-duanya berada dalam kumpulan B pada Kejohanan FIH Siri Akhir Lelaki ini.

Presiden MHC, Datuk Subahan Kamal bagaimanapun optimis dengan keupayaan pasukan hoki kebangsaan kerana Malaysia kini berada di kedudukan ke-13 dunia.

Justeru, selain berhadapan China, cabaran dari Brazil dan Itali yang kini berada di kedudukan 27 dan 32 dunia tidak memberi tekanan kepada Malaysia untuk meneruskan harapan berada dalam kumpulan pertama pada sesi kelayakan Olimpik nanti.

Sementara itu, menurut Ketua Jurulatih kebangsaan, Roelant Oltmans, peluang untuk beraksi di laman sendiri lebih cerah jika dapat berada dalam kumpulan pertama atau kedua pada sesi kelayakan Olimpik.

Malah, beliau yakin dengan kutipan mata melalui Sukan Asia juga akan membantu Malaysia berada dalam kumpulan pertama itu.

Mereka ditemui pada sidang media selepas perbincangan bersama para pemain di Stadium Hoki Nasional.