Sunday, January 21, 2018
vital-top
updated 1:09 AM UTC, Jan 21, 2018

Program Fit Masjid 2016 di Masjid At-Taqwa, Paroi Ahad Ini

  • Published in Sukan

SEREMBAN - Lebih 3,000 orang akan menyertai program Fit Masjid 2016 peringkat kebangsaan di Masjid At-Taqwa, Paroi di sini pada Ahad ini.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Azura Sarbin berkata, program ini merupakan program baharu yang diperkenalkan Kementerian Belia dan Sukan yang berkonsepkan Islam, bertujuan mendekatkan golongan belia dengan institusi masjid melalui gabungan elemen keagamaan dan riadah santai.

"Program ini yang diadakan seawal pukul 5 pagi dan akan turut disertai Menteri Belia dan Sukan, Encik Khairy Jamaluddin. Antara pengisian program ini ialah qiamullail dan usrah, solat subuh berjemaah dan kuliah subuh, fun walk (5km), fun ride (10km), senam cergas, kidszone serta pameran jualan produk Islam," katanya dalam kenyataannya di sini.

Beliau berkata, objektif program ini adalah untuk mendekatkan golongan belia dengan institusi masjid. Selain itu, program ini juga dapat mengembalikan fahaman bahawa tugas menguruskan pengimarahan masjid adalah sunnah Rasulullah SAW dan ia adalah merupakan satu ibadat.  

"Pada masa sama, ia dapat mengimarah dan meningkatkan kapasiti masjid sebagai institusi pembangunan ummah dengan menarik penglibatan belia melalui aktiviti keagamaan, kerohanian serta aktiviti rekreasi. Warga Negeri Sembilan, khususnya para belia dijemput untuk bersama-sama menjayakan program ini," katanya.