Sunday, January 21, 2018
vital-top
updated 1:09 AM UTC, Jan 21, 2018

FAM Gesa Eaton Lebih Profesional dan Kemukakan Bukti

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR - Susulan dakwaan Ketua Keselamatan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Chris Eaton yang menyatakan Malaysia kini menjadi hab mengatur perlawanan di Asia Tenggara. Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggesa  Eaton lebih profesional dengan mengemukakan bukti bagi membolehkan siasatan dilakukan. 

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan, FAM sentiasa memandang serius isu ini dan mempunyai persefahaman baik dengan FIFA serta Kondeferasi Bolasepak Asia (AFC) dalam sama-sama menangani masalah ini.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, FAM juga sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa menyalurkan maklumat yang boleh dipercayai untuk siasatan mereka. 

Kewujudan jawatankuasa Integriti baik di peringkat kebangsaan mahupun negeri sentiasa mengambil serius segala maklumat yang diterima sama ada daripada sumber tertentu atau pun daripada FIFA dan juga AFC. 

Selain itu, FAM turut cuba membanteras gejala mengatur perlawanan ini menerusi kaedah EWS FIFA. 

Berdasarkan rekod, pada tahun 2012, Eaton turut pernah mengeluarkan kenyataan kononnya ada pegawai tinggi daripada persatuan ini yang terlibat dengan aktiviti mengatur perlawanan. 

Susulan itu, satu perjumpaan telah diadakan pada 5 Mac 2012 antara beliau dengan Setiusaha Agung FAM ketika itu, Datuk Seri Azzuddin Ahmad. 

Ketika itu juga, beliau telah diminta untuk mengemukakan bukti bagi menyokong kenyataannya itu tetapi gagal berbuat demikian. Untuk dakwaan terbaharunya ini, FAM belum menerima sebarang maklumat samaada dari FIFA, AFC mahupun sumber tempatan.