Monday, June 25, 2018
vital-top
updated 8:32 AM UTC, Jun 25, 2018

Tiket Percuma Saksi Perlawanan Harimau Malaysia Dan Papua New Guinea Pada 14 November Ini

  • Published in Sukan

KUALA LUMPURSebagai menghargai sokongan rakyat,  Persatuan Bolasepak Malaysia FAM memutuskan tiada bayaran tiket dikenakan bagi perlawanan persahabatan antarabangsa antara Harimau Malaysia dan Papua New Guinea, 14 November ini. 

Perlawanan akan berlangsung di Stadium Shah Alam bermula pukul 3 petang. 

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, keputusan dibuat sebagai menghargai penyokong setia Harimau Malaysia yang tetap hadir ke stadium,  setiap kali perlawanan membabitkan skuad kebangsaan sepanjang tahun 2016. 

Jika mengikut ketetapan harga tiket bagi perlawanan persahabatan antarabangsa "A" adalah RM30 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah. 

Perlawanan menentang Papua New Guinea, pada Isnin ini merupakan perlawanan kelima di laman sendiri bagi tahun 2016. 

Sementara itu, Ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee berharap penyokong dapat menggunakan peluang masuk percuma untuk sama-sama memenuhi stadium,  memandangkan ia aksi persahabatan  terakhir Harimau Malaysia,  sebelum berlepas ke Yangon, Myanmar pada 16 November untuk memulakan kempen Piala Suzuki AFF 2016. 

Beraksi dalam Kumpulan B, Harimau Malaysia dijadual bertemu Kemboja pada 20 November dan Vietnam (23 November) di Yangon, bermula pukul 3 petang.