Wednesday, October 18, 2017
vital-top
updated 3:22 AM UTC, Oct 18, 2017

Aktiviti Sukan Air Dicadang Diadakan Di Kuala Kangsar

Kuala Kangsar - Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid mencadangkan agar sukan air diadakan di Kuala Kangsar bagi menarik kedatangan pelancong ke Bandar Diraja itu. 

Mastura berkata beliau akan berbincang dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, bagi merealisasikan program itu dengan berkesan.

"Saya difahamkan sukan air di sini sudah lama tidak diadakan dan program ini boleh dibuat secara tahunan ataupun berkala dengan perbincangan yang rapi untuk penganjurannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Chandan Mountainbike Challenge di sini hari ini yang disertai 1,500 peserta, termasuk dari Thailand, Singapura dan Poland.

Sementara itu, pengerusi penganjur program Chandan Mountainbike Challenge Maslin Sham Razman berkata acara itu diadakan buat kali kedua dan telah dimasukkan dalam kalendar rasmi Tourism Perak.

"Sukan ini membawa impak yang baik kepada pelancongan di Perak yang mana kita dapat memperkenalkan tempat-tempat menarik seperti Masjid Ubudiah dan Istana Kuala Kangsar kepada pelancong," kata Maslin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Chandan.