Sunday, January 21, 2018
vital-top
updated 1:09 AM UTC, Jan 21, 2018

Bajet 2017- Sektor Sukan Diperuntukan RM1.2 Bilion Bagi Pembangunan Sukan

  • Published in Sukan

Kuala Lumpur - Kerajaan terus memberi perhatian kepada sektor sukan dengan penyediaan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion bagi tujuan pembangunan sukan negara tahun depan.

Perdana Menteri dalam membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat berkata peruntukan itu termasuk RM450 juta yang dikhususkan bagi penganjuran Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para Asean Kesembilan, sebagai tuan rumah.

Tambah lagi, sebanyak RM70 juta turut diperuntuk bagi Program Pembangunan Podium Sukan Elit untuk penyediaan atlet ke pertandingan antarabangsa.

Program Podium ialah antara lapan inisiatif di bawah Rangka Kerja Berprestasi Tinggi melibatkan atlet elit normal dan paralimpik.

"Kita amat bangga atas pencapaian kontinjen Paralimpik dan Olimpik. Pertama kali lagu Negaraku berkumandang di Rio de Janeiro, Brazil (menerusi kejayaan tiga pingat emas dan satu pingat gangsa).

"Kontinjen negara telah menamatkan saingan di Sukan Olimpik dengan empat pingat perak dan satu pingat gangsa. Kita ucapkan syabas dan setinggi tahniah kepada jaguh-jaguh Sukan Olimpik negara," kata Datuk Seri Najib.