Thursday, October 19, 2017
vital-top
updated 3:46 PM UTC, Oct 19, 2017

Melaka Disasar Kekal Sebagai Juara Hoki Piala Tun Razak Tahun Depan

Melaka -  Skuad Hoki Melaka yang menjuarai Divisyen 1 Kejohanan Hoki Piala Tun Razak ke-53 pada 6 Dis lepas akan bekerja keras mempertahankan kejuaraan itu tahun hadapan, kata Presiden Persatuan Hoki Melaka (PHM) Habibul'Ajmi Manggar.

Habibul'Ajmi berkata pasukannya menyahut harapan dan saranan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron supaya pasukan itu mengekalkan piala Kejohanan Hoki Piala Tun Razak itu di bumi Hang Tuah ini pada tahun hadapan serta mengharapkan kerjasama kerajaan negeri untuk membangunkan dan memajukan sukan hoki.

"Harapan kita agar kerajaan negeri memberi lebih perhatian kepada PHM kerana bakat hoki di Melaka sangat ramai, jadi sayang kalau sukan hoki ini dilihat sebagai sukan biasa sahaja," katanya beliau selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Idris di Seri Bendahara.

Idris berkata PHM dilihat memiliki program pembangunan yang cukup sistematik dan tersusun yang membolehkannya membina reputasi sebagai kuasa hoki di negara ini.

Daripada sistem pengurusan yang baik ini mereka berupaya melahirkan pemain anak Melaka yang berbakat dan berkualiti...bersesuaian slogan mereka iaitu "No Star No Problem' (Tiada Bintang Tiada Masalah) dan saya percaya inilah semangat yang perlu ada dalam setiap pasukan," katanya.

Idris berkata kerajaan negeri akan sentiasa memerhati secara dekat perkembangan pembangunan pasukan serta memberikan sokongan kepada pasukan itu.