Sunday, January 21, 2018
vital-top
updated 1:09 AM UTC, Jan 21, 2018

44 Penyokong Sesat Ke Jempol, T-Team Beri Tiket Percuma Ke Shah Alam

  • Published in Sukan

Kuala Terengganu - T-Team memberikan pas masuk percuma kepada 44 orang penyokongnya menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Selangor, Sabtu ini.  

Ia sebagai penghargaan kepada penyokong tegar The Titans yang tersesat ke Jempol Negeri Sembilan semasa menuju Stadium Tun Abdul Razak di Jengka bagi menyaksikan perlawanan suku akhir menentang FELDA United bulan lepas.  
   
Jelas Ketua Pegawai Operasi T-Team, Mohd Shahrizan Mohd Zain pihaknya telahpun mendapatkan maklumat daripada beberapa pihak bagi mengesahkan kejadian itu.

Seterusnya bersetuju memberikan 44 pas masuk percuma kepada kumpulan penyokong dari Chendering, Kuala Ibai dan Wakaf Dua-Tasik Bukit Payong itu.
 
Sumbangan kepada kumpulan penyokong berkenaan disampaikan di perkarangan Pejabat Kelab T-Team di Kuala Terengganu.
 
Ketua rombongan, Ariffin Mat Ali menyifatkan pemberian pas percuma ini sebagai  penawar kepada kekecewaan mereka yang terlepas peluang menyaksikan aksi T-Team di Jengka.

Ia juga sebagai penyuntik semangat untuk memberikan sokongan lebih padu pada  aksi kedua nanti.

Bas yang dinaiki mereka adalah yang terakhir daripada kumpulan besar yang bergerak dari Kuala Terengganu ke Jengka pada 17 September lalu.

Namun kesilapan memilih laluan hingga ke Jempol menyebabkan mereka terpaksa menyaksikan perlawanan menerusi kaca tv di sebuah kedai makan.