Harimau Malaysia Sekadar Lakar Keputusan Seri 1-1 Menentang Afghanistan
- Ditulis oleh BeritaRTM
- Published in Sukan
Kuala Lumpur - Hasrat Datuk Ong Kim Swee melihat pasukannya melakar kemenangan dalam aksi persahabatan menentang Afghanistan tidak menjadi kenyataan.
Harimau Malaysia sekadar melakar keputusan seri 1 sama pada aksi yang berlangsung di Stadium Shah Alam malam tadi.
Beraksi di halaman sendiri Kim Swee melakukan sekurang-kurangnya 8 pertukaran dan pemain hanya menunjukkan peningkatan permainan di separuh masa kedua.
Noarollah Amiri membuka tirai jaringan menerusi satu rembatan menarik dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gawang negara Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke- 21.
Percaturan Ong Kim Swee kemudiannya memasukkan pemain Felda United Muhamad Hadin Azman menggantikan Mohd Syazwan Zainol nyata berhasil.
Hadin berjaya menyamakan kedudukan buat Malaysia penghujung babak pertama.
Bersambung babak kedua Afghanistan dibimbing Peter Segrt terus mengasak ke kubu tuan rumah.
Namun pertahanan Malaysia kental bertahan.
Kemasukan penyerang JDT II Mohd Zaquan Abdyl Razak dan pemain sayap Selangor Ahmad Hazwan Bakri memberikan kesan.
Namun masih gagal menembusi benteng pertahanan Afghanistan.
Kedudukan kekal hingga tamat perlawanan.
Keputusan penuh kedua-dua pasukan terikat 1-1.