Tuesday, January 16, 2018
vital-top
updated 1:07 PM UTC, Jan 16, 2018

Hari Sukan Negara Boleh Jadi Platform Lahirkan Atlet

  • Published in Sukan

Manjung -  Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) termasuk di Perak berpotensi menjadi platform bagi mencungkil bakat baharu dan melahirkan atlet yang mampu mengharumkan nama negara. 

Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata ini kerana pelbagai acara dianjurkan sepanjang sambutan yang pastinya dapat menguji kemahiran dan kemampuan.

"HSN bukan dibuat untuk sukan berpotensi tinggi tetapi ia juga bagi mengenal pasti bakat baharu yang berpotensi menjadi atlet," katanya selepas perasmian sambutan itu di peringkat negeri oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, di sini hari ini.

Sambutan peringkat negeri yang diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung itu disertai kira-kira 7,000 orang dan pelbagai acara menarik diadakan termasuk larian, berbasikal dan senamrobik. 

Menurut Shahrul, sambutan turut diadakan di semua daerah serta 24 Parlimen seluruh Perak dengan penyertaan hampir 590,000 orang. 

Terdahulu, kumpulan Gabungan Sepak Takraw daerah Manjung (GASTMA) berjaya melakar nama dalam The Malaysia Book Of Records apabila sepak raga tuju yang dianjurkan disertai 1,309 orang iaitu jumlah yang paling ramai setakat ini.