Friday, April 27, 2018
vital-top
updated 4:13 AM UTC, Apr 27, 2018

Yang di-Pertuan Agong, Permaisuri Sertai Kejohanan Golf Empat Penjuru

  • Published in Sukan

Taiping - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah hari ini berkenan menyertai Kejohanan Golf Empat Penjuru Piala Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Taiping Golf & Country Club di Bukit Jana di sini.

Ketibaan Seri Paduka berdua disambut anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris, Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jen Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Seri Paduka berdua kemudian berkenan menerima cenderahati daripada Kor Perkhidmatan Diraja (KPD) dan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sebelum bersarapan pagi bersama peserta golf dan memulakan 'tee-off'.

Seri Paduka berkenan mengurniakan wang tunai sebanyak RM2,000 kepada johan pasukan pertandingan itu dan majlis penyampaian hadiah akan berlangsung di Wisma Perwira KPD di sini malam ini.

Pertandingan anjuran bersama RAMD dan KPD itu diadakan buat kali keenam dan disertai 54 peserta yang terdiri daripada empat pasukan iaitu Istana Negara, Rejimen 513 Askar Wataniah, KPD dan RAMD.

Objektif utama pertandingan Golf Empat Penjuru Piala Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang diperkenalkan pada tahun 2009 adalah bagi merapatkan hubungan dan silaturahim antara institusi diraja dan anggota tentera.