Saturday, October 21, 2017
vital-top
updated 5:20 AM UTC, Oct 21, 2017

KOM Perlu Selesaikan Kontroversi Rekod 100m Sebelum Memalukan Negara - Watson

Miri - Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) perlu segera tampil menjawab dakwaan rekod kebangsaan 100 meter yang dicipta Badrul Hisham Abdul Manap tidak sah bagi mengelakkannya menjejaskan kredibiliti badan induk itu.

Bekas jaguh pecut negara, Watson Nyambek berkata kontroversi kesahihan rekod itu memalukan olahraga negara berikutan timbulnya dakwaan penganjur kejohanan gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

"KOM tentu tahu apabila seseorang atlet itu memecahkan rekod kebangsaan atau antarabangsa, mereka harus menepati peraturan yang ditetapkan IAAF sebelum rekod baharu itu menjadi rasmi," katanya beliau.

Watson berkata adalah normal bagi atlet pecut menyaksikan rekod baharu yang dibuat mereka ditarik balik sejurus selepas itu kerana catatan dibantu angin atau faktor teknikal lain.

Pada 23 Nov lepas, Badrul memadamkan rekod kebangsaan 100m berusia 17 tahun 10.30 saat yang dipegang Watson sejak 1998 dengan catatan 10.29s di Sukan Sekolah ASEAN di Brunei.

"KOM harus tahu kedudukan sebenar kerana ada antara pegawai tingginya yang mempunyai pengalaman luas hadir pada acara itu (ketika Badrul Hisham mencipta rekod baharu) dan mampu memberi pengesahan segera sama ada rekod kebangsaan sudah dipecahkan atau sebaliknya mengikut piawaian IAAF," katanya.