Saturday, October 21, 2017
vital-top
updated 2:46 PM UTC, Oct 21, 2017

Nurul Khaiza Intai Emas Pada Penampilan Sulung Kejohanan Silat Remaja Dunia

Kuala Lumpur - Pesilat remaja kebangsaan, Nurul Khaiza Khairudin, 16, mengintai peluang meraih pingat emas pada penampilan sulung di Kejohanan Silat Remaja Dunia ketiga di Stadium Titiwangsa.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Tok Adis, Kuala Terengganu itu mengakui peluangnya agak cerah untuk meraih emas dalam aksi sulung kejohanan antarabangsa sekiranya dapat mengekalkan corak persembahan cemerlang di final, Rabu.

Terdahulu, beliau menewaskan wakil Jerman, Tara Jasmin Talay 5-0 pada separuh akhir kategori Puteri Kelas C (47-51kg) dan bakal berdepan pesilat Indonesia, Nata Saumi yang mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas wakil Vietnam, Trinh Phuong Anh pada satu lagi aksi separuh akhir.

"Walaupun mencatat kemenangan selesa hari ini, saya merasakan masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki terutamanya daripada segi teknik dan taktikal.

"Saya akui lawan saya dari Indonesia itu bukan mudah untuk dikalahkan namun sekiranya berjaya merebut peluang terhidang pada final esok, saya yakin pingat emas bakal menjadi milik saya," kata Nurul Khaiza.

Beliau yang dipilih ke kejohanan itu selepas muncul juara Kejohanan Silat Remaja Kebangsaan di Pahang baru-baru ini turut menyasarkan untuk melakar lebih banyak kejayaan cemerlang pada kejohanan antarabangsa yang akan disertainya tahun depan.

Dalam pada itu, tiga lagi pesilat negara mara ke final setelah mengalahkan lawan masing-masing di separuh akhir hari ini.