Thursday, October 19, 2017
vital-top
updated 3:46 PM UTC, Oct 19, 2017

Dua Pelayar Negara Selesa Pada Hari Pertama Kejohanan ISAF 2015

Langkawi - Dua pelayar negara Asri Azman dan Nur Shazrin Mohammad Latif berada pada kedudukan selesa selepas menamatkan dua daripada sembilan perlumbaan pada hari pertama Kejohanan Layar Remaja Dunia Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF) 2015.

Asri, 17, menduduki tangga ke-11 daripada 68 pelayar yang berjaya mengumpul 23 mata dalam kategori Laser Radial Lelaki, manakala Shazrin, 17, menduduki tangga ke-18 daripada 54 pelayar yang juga berjaya mengumpul 37 mata dalam kategori Laser Radial Perempuan.

Jurulatih Norhisham Mat Nor menaruh harapan kepada kedua-dua pelayar itu untuk membaiki kedudukan di tempat yang lebih baik dalam baki tujuh perlumbaan.

"Saya tidak memberi tekanan kepada mereka sebaliknya memberi dorongan untuk mencapai kejayaan cemerlang," katanya.

Beliau bertekad supaya mereka dapat kejayaan memperoleh kedudukan terbaik pada kejohanan itu.

Norhisham berkata kedua-dua pelayar di bawah bimbingannya dapat menyesuaikan diri dengan pelayar-pelayar bertaraf dunia yang sebelum ini bertanding kejohanan Olimpik Remaja di China tahun lepas.

Beliau berkata keadaan cuaca hari ini adalah baik dengan tiupan angin antara 25 hingga 30 knot.

Dalam kategori Laser Radial Lelaki Alistair Young dari Australia mendahului dengan lima mata di hadapan, diikuti Nicholas Baird (kedua) dari Amerika Syarikat dengan lapan mata dan George Gautrey (ketiga) dengan sembilan mata.

Manakala kategori Laser Radial Perempuan tempat pertama diungguli pelayar dari Poland Magdalena Kwasna, mengumpul enam mata, Maria Erdi (kedua) dari Hungary dengan lapan mata dan tempat ketiga Hannah Anderssohn, juga mendapat lapan mata.

Sementara itu bagi kategori International 420 lelaki, pelayar gandingan Australia Alec Brodie dan Xavier Winston Smith mendahului dengan dua mata, pelayar Amerika Syarikat Will Logue dan Bram Brakman (kedua) dengan empat mata dan pelayar Singapura Jia Yi Loh dan Matthew Lau (ketiga) dengan lapan mata.

Manakala pelayar gandingan Malaysia Muhammad Uzair Amin Mohd Yusof dan Naquib Eiman hanya menduduki tempat ke-29 dengan 51 mata.

Lebih 400 pelayar dari 76 negara menyertai kejohanan yang mempertandingkan sembilan kategori perlumbaan.