Thursday, June 21, 2018
vital-top
updated 2:39 PM UTC, Jun 21, 2018

2,000 Sertai Acara Kayuhan Sempena 1 Aman Week PDRM

  • Published in Sukan

Putrajaya - Kira-kira 2,000 peserta tidak melepaskan peluang menyertai acara kayuhan sempena program 1 Aman Week anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.

Acara yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu lima kilometer (km), 15km dan 35 km itu dilepaskan oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Pesuruhjaya Polis Datuk Rusli Ahmad.

Menurut Timbalan Pengarah (Perancangan Strategi) jabatan itu, DCP Datuk Chuah Ghee Lye, acara kayuhan itu dijalankan bagi mendekatkan polis dengan masyarakat serta memberi penerangan mengenai kaedah pencegahan dan membanteras jenayah.

Beliau berkata Program 1 Aman Week bertemakan 'Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang bermula semalam hingga esok diadakan dengan kerjasama beberapa agensi di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Pelbagai acara menarik disediakan kepada pengunjung antaranya pameran eksklusif termasuk aset PDRM, gerai jualan pelbagai produk berjenama oleh peserta karnival jualan, cabutan bertuah dan persembahan artis.