Friday, April 27, 2018
vital-top
updated 4:13 AM UTC, Apr 27, 2018

Insiden Pergaduhan Pemain Diselesai Secara Baik - K. Gunalan

  • Published in Sukan

Kuching - Insiden pergaduhan antara dua pemain Selangor iaitu Ugochukwu Ukah dan Mohd Bunyamin Omar akan dibawa kepada pihak pengurusan pasukan untuk penyelesaian secara baik, kata ketua jurulatih Selangor, K.Gunalan.

Gunalan berkata kepada pemberita sebaik tamat perlawanan Liga Super antara Selangor dan Sarawak yang berkesudahan seri 1-1 di Stadium Negeri di sini malam tadi.

Insiden itu berlaku di atas padang semasa perlawanan memasuki masa tambahan apabila berlaku pertengkaran antara Ugochukwe dan Bunyamin yang menyaksikan pemain berasal dari Nigeria itu menghantuk kepala Bunyamin sehingga luka dan terpaksa dikejarkan ke hospital.

Pengadil perlawanan Zilkifli Ahmad seterusnya melayangkan kad merah kepada Ugochukwu.

Gunalan bagaimanapun melahirkan rasa kesal kerana menurut beliau insiden seperti itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan kedua-duanya merupakan pemain profesional.

Sementara itu, Gunalan walaupun menyatakan rasa puas hati dengan keputusan seri itu mahu supaya pemain-pemainnya tidak mengulangi kesilapan sama apabila bermain dalam perlawanan suku akhir Piala Malaysia nanti.