Logo

Prospek Khairul Hafiz Cerah Ke Sukan SEA - Khairy

Kuala Lumpur - Sementara itu, prestasi mendadak ditunjukkan Khairul Hafiz memungkinkan beliau disenaraikan dalam kontinjen negara ke Sukan SEA Kuala Lumpur tahun hadapan.

Itu kenyataan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai atlet meningkat naik itu bagi memastikan masa depannya terus terbela.

Menurut Khairy, bukan sahaja Khairul Hafiz malah rakan sepasukannya seperti Badrul Hisyam akan diberi latihan yang lebih sistematik untuk diangkat ke peringkat lebih tinggi.

Dalam perkembangan berasingan, Khairy berkata formula baharu pembangunan bola sepak negara akan diumumkan dalam masa terdekat.

Katanya, beberapa perkara yang perlu diperhalusi antaranya dengan beberapa pihak terbabit sebelum dimaklumkan kepada pengetahuan umum.

Berucap pada majlis penyerahan jalur gemilang kepada atlet Malaysia ke Sukan Olimpik Rio di Istana Negara, Khairy menjelaskan formula berkenaan akan didedahkan sebelum beliau berlepas ke Rio bulan hadapan.

Pada majlis ini Seri Paduka Baginda yang Di Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim mengurniakan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen Malaysia ke Olimpik, Tan Sri Al Amin Abdul Majid.

Bendera kemudian diserahkan kepada jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sebagai pembawa Jalur Gemilang pada majlis pembukaan 5 Ogos nanti.

Baginda turut mengurniakan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen Paralimpik negara, Dr Ang Kean Koo sebelum diserahkan kepada atlet angkat berat, Jong Yee Khie sebagai pembawa Jalur Gemilang.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.