Wednesday, December 13, 2017
vital-top
updated 8:55 AM UTC, Dec 13, 2017

Lima Ratus Atlet Sertai Perlumbaan Double Trouble Xtrail Duathlon 2016

  • Published in Sukan

Seremban - Lima ratus peserta profesional dan amatur akan menyertai Perlumbaan Double Trouble Xtrail Duathlon 2016 yang akan berlangsung pada 24 Julai ini di Pusat Eco-Edu Tourism Sungai Menyala, Port Dickson.

Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) Baharudin Jali berkata 30 daripadanya adalah peserta dari United Kingdom, Filipina, Kenya, Perancis, India, Singapura dan Indonesia.

Beliau memberitahu sidang media di sini hari ini penganjuran acara ini pertama kali diadakan di Port Dickson dan ia merupakan satu daripada inisiatif untuk mempromosikan produk pelancongan di negeri ini.

"Uniknya pertandingan ini ialah peserta akan berlari sejauh 10 kilometer dan berbasikal 30 kilometer di kawasan hutan di Sungai Menyala dan mereka juga akan melalui Kampung Bukit Kepong, yang merupakan Kampung Orang Asli kedua tercantik di Malaysia," katanya.

Baharudin berkata penganjuran acara seperti ini akan merancakkan lagi industri pelancongan di negeri ini melalui limpahan ekonomi, antaranya kepada pihak hotel, pengendali makanan dan pengusaha kraftangan.

Enam kategori dipertandingkan iaitu Lelaki Terbuka Individu, Lelaki Master Individu, Lelaki Veteran Individu, Wanita Terbuka Individu, Lelaki Berpasukan Terbuka Berganti-ganti dan Pasukan Campuran Terbuka Berganti-ganti.

"Jumlah hadiah tunai yang ditawarkan ialah RM23,600 dan trofi bagi setiap kategori, selain cabutan bertuah berjumlah RM8,000," katanya.